BHARIAN, KOTA BHARU MALAYSIA – Selepas sebulan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa, melancarkan minyak wangi jenamanya, Rossa Eau De Parfum, ia sudah terjual lebih 60,000 unit di Malaysia.
Rossa yang hadir stesen radio, Kelantan FM, memberitahu pemberita, beliau menyasarkan sebanyak 100,000 unit bakal terjual selepas ini. “Saya sama sekali tidak menyangka wangian ini mendapat sambutan luar biasa oleh peminat di sini.
“Selepas pelancaran di Kuala Lumpur baru-baru ini, wangian ini menjengah ke Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang dalam rangka jelajah sempena Mood Republik di dua lokasi di Pantai Timur itu, berkata wangian yang dijual pada harga RM48 untuk 35 milimeter (ml) itu dianggap hadiah terbaik untuk peminat khususnya di Malaysia.
Ketika ditanya mengapa memilih untuk menghasilkan produk wangian, penyanyi lagu ‘Tegar’ itu memberitahu di Malaysia sememangnya sudah ramai artis mengeluarkan produk mereka seperti itu tetapi tidak di Indonesia.
“Kalau di Indonesia hanya ada dua artis yang mengeluarkan produk wangian iaitu Agnes Monica dan Anggun C Sasmi.
“Jadi tiada salahnya untuk saya menghargai peminat di Indonesia mahupun Malaysia untuk memiliki haruman baharu ini,” katanya.
Khamis, 1 September 2016 | 12:33pm